Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air capai 14.3 peratus takat 9 pagi

SHAH ALAM, 24 JULAI: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas susulan henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran bau Sungai Kundang dan Sungai Sembah mencapai 14.3 peratus setakat 9 pagi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Menurut agensi itu pengguna yang mengalami bekalan air berwarna dinasihatkan supaya membiarkan paip air mengalir selama lima hingga 10 minit sehingga ia kembali jernih sebelum digunakan.

“Jangan bimbang jika bekalan air yang anda mula terima adalah berwarna kerana situasi sebegini lazimnya berlaku semasa bekalan air terputus disebabkan gangguan bekalan air berjadual atau tidak berjadual.

“Bekalan air yang disambung semula boleh menyebabkan pemendapan sedimen dalam paip utama yang telah kosong terampai semula mengakibatkan bekalan air berubah warna,” katanya.

Air Selangor menjangkakan peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai sekitar 40 peratus pada 8 pagi esok, diikuti 90 peratus (8 malam) dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 8 pagi Jumaat ini.

“Air Selangor telah menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Syarikat itu juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

 


Pengarang :