Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas bercakap kepada media selepas majlis Jalinan Kerjasama Strategik antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 5 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PJ, Shah Alam jadi perintis projek rumah mesra warga emas PKNS

SHAH ALAM, 24 JULAI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina lebih banyak rumah mesra warga emas di kawasan bandar demi menjaga kebajikan golongan itu.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kediaman yang dibina di Petaling Jaya dan Seksyen 13, Shah Alam bakal menjadi projek rintis selain mencapai matlamat baharu syarikat selepas 60 tahun ditubuhkan.

“Jadi kita mahukan pembaharuan selepas melihat usaha selama ini. Kita lihat usia rakyat semakin meningkat dan kita mahu memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Kita mahu kebajikan mereka lebih selesa.

“Kita bina penempatan khas untuk mereka. Untuk di Seksyen 13, projek akan dibina bersebelahan hospital. Ini untuk memudahkan warga emas mendapatkan rawatan kesihatan. Kita mahu jaga kebajikan mereka,” kata Dato’ Mahmud Abbas.

Ditemui selepas majlis makan tengah hari bersama media, beliau berkata anak syarikat Kerajaan Negeri itu juga mahu menjana pelaburan menerusi pembinaan setempat asrama warga asing.

Beliau menjelaskan kemudahan seperti itu bakal menarik pelaburan sama ada syarikat tempatan atau luar negara sekali gus memberi pulangan ekonomi tinggi kepada negeri ini.

“Covid-19 mengajar kita pelbagai perkara. Jadi Kerajaan Negeri sarankan supaya ada tempat khas industri. Jadi kita akan bina lebih banyak kemudahan seperti ini dan ia lengkap dengan keperluan selain menjamin keselesaan.

“Langkah ini akan tarik lebih banyak pelaburan kerana ia menepati keperluan antarabangsa. Bukan hanya kediaman tetapi ada juga tempat rekreasi, dapur dan ruang mendobi untuk mudahkan pekerja,” katanya.

Mac lalu EXCO Pembangunan Keluarga Anfaal Saari memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan bekerjasama dengan PKNS dan Selgate Corporation untuk membangunkan rumah jagaan warga emas.

Jelasnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada matlamat pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang mahu memberi manfaat kepada golongan terbabit di samping dapat merangsang ekonomi.


Pengarang :