SHAH ALAM, 25 JULAI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melabur hampir RM4 bilion bagi membangunkan dua perbandaran baharu, Selangor Cyber Valley (SCV) di Cyberjaya serta Siera Alam, Setia Alam.
Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Mahmud Abbas berkata projek kediaman berkenaan dijangka lengkap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun secara berperingkat.
“Setiap projek ini melibatkan pelaburan hampir RM2 bilion bagi membina rumah pelbagai jenis antaranya teres, semi D dan rumah bandar. Kawasan ini lengkap dengan kemudahan seperti sekolah, pasar raya serta pelbagai lagi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/p1-500x333.jpg.webp)
“Ini dapat menarik lebih ramai pembeli sekali gus menggalakkan perbandaran itu. Minggu lepas kita lancar penjualan 226 unit jenis rumah bandar di Aludra, SCV berharga hampir RM500,000 dan sambutan menggalakkan,” katanya ditemui selepas majlis makan tengah hari bersama media semalam.
Sementara itu beliau berkata anak syarikat Kerajaan Negeri itu juga bakal membina hotel mewah serta kondominium dalam pembangunan projek SA Central di bandar raya ini.
“Kita juga rancang bina pusat pameran yang dijalankan bersama beberapa pihak supaya tidak perlu mengeluarkan kos tinggi, namun memberi pulangan lebih.
“SA Central juga akan dilengkapi keperluan sosial lain. Ada tempat beli belah, dekat dengan tempat rekreasi (Tasik Shah Alam), masjid negeri, klinik, perpustakaan, pejabat. Ini menampung keperluan dalam bandar,” katanya.
Sebelum ini Mahmud memaklumkan Projek SA Central melibatkan peremajaan beberapa bangunan sedia ada di bandar ini bakal menjadi kawasan segi tiga emas yang mampu memacu ekonomi negeri.