AGENSISELANGOR

Tiga daerah di Selangor, KL diramal hujan lebat hingga 7 malam

SHAH ALAM, 30 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat setakat 7 malam.

Agensi itu menerusi Facebook turut meramalkan cuaca hujan disertai ribut petir melanda Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.

MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :