Acara perahu tradisional ketika majlis perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Karnival sukan air dianjur November, promosi Kawasan Pembangunan Sabak Bernam

SHAH ALAM, 31 JULAI: Karnival Ban Canal (KBC) yang bakal berlangsung November ini di Sungai Panjang, Sabak Bernam menjadi platform memperkenal projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) kepada pelancong luar.

EXCO kemajuan desa berkata festival sukan air selama tiga hari anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan memudahkan pengunjung memahami pelan rancangan kawasan terbabit sekali gus melihat manfaat diterima penduduk setempat.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 30 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Karnival ini sudah dianjur sejak 2022. Tahun lalu kita terima lebih 13,000 pengunjung dan tahun ini sasar kehadiranlebih 15,000. Aktivitinya bukan hanya sukan air sahaja tetapi kita juga ada pengisian berkenaan SABDA selain program kekeluargaan.

“Ini juga merupakan insiatif mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025. Sabak Bernam antara lokasi menarik untuk dikunjungi terutama yang mencintai suasana kampung dan budaya lama.

“Orang ramai boleh melihat rutin kehidupan petani dan nelayan. Boleh juga mencuba pelbagai aktiviti kampung. Walaupun kawasan makin membangun tetapi tradisi lama masih dikekalkan,” kata Datuk Rizam Ismail kepada SelangorKini.

KBC yang dijadual pada 15 hingga 17 November depan menjalankan pelbagai aktiviti dengan sukan air seperti pertandingan perahu naga dan berkayak menjadi tumpuan utama selain diisi aktiviti kekeluargaan seperti mewarna.

Ketika sidang Dewan Negeri Selangor, Rizam memaklumkan karnival dicadang menjadi acara tahunan malah turut dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025.

 


Pengarang :