Kumpulan ejen pelancongan dari Thailand dibawa melihat helang ketika lawatan Anjung Utara di Pasir Penampang, Kuala Selangor pada 10 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tourism Selangor perkasa SABDA, rancak pelancongan tingkat ekonomi setempat

SHAH ALAM, 18 FEB: Tourism Selangor tekad merancakkan sektor pelancongan sekali gus memperkasa projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi setempat.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata agensi itu giat bekerjasama dengan beberapa komuniti pelancongan antaranya Hos Komuniti Selangor, Persatuan Pelancongan Sekinchan dan Sungai Panjang Agro Tourism bagi menjayakan hasrat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad ketika ditemui media pada majlis penutup Kejohanan Golf Tourism Selangor 2022 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 23 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“SABDA terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan kita fokus beberapa segmentasi pelancongan termasuk projek ini untuk bantu tingkat pendapatan penduduk selain menarik pelancong tempatan dan luar.

“Kita juga lebih giat mempromosi Gombak Hulu Langat Geopark kerana sasar lokasi ini mendapat pengiktirafan global daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjelang 2027,” kata Azrul Shah Mohamad ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Tourism Selangor juga merangka lebih 100 program di serata daerah bagi menarik lebih ramai pelancong menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.

Katanya, antara program utama yang dirancang Pesta Kelaut Pantai Kelanang di Kuala Langat, Sate & Program Kopi Secocok Bersama 2.0 (Kajang), Karnival Ban Kanal 2024 (Sabak Bernam) dan Moto GP (Sepang).

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (tengah) bergambar bersama pengamal media ketika lawatan di Ladang Farm Fresh, Serdang pada 14 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata enam projek bawah SABDA yang dijangka beroperasi mulai 2025 bakal menarik pelaburan sehingga RM1.9 bilion serta mencipta 3,600 peluang pekerjaan bergaji tinggi.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pembangunan tanah seluas 1,317 hektar merangkumi pembinaan Smart Selangor Agro Park di Changkat Menteri, Pusat Perikanan berteknologi tinggi di Sekinchan dan Pusat Perniagaan Air Manis.

Turut tersenarai adalah projek Pusat Rehat dan Rawat Sabak Bernam, agropelancongan di Sekinchan dan pusat setempat pembinaan serta penyelenggaraan bot atau kapal nelayan di Sungai Lang.


Pengarang :