Keadaan kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

SJAM: LUAS agensi penting bangun sistem tangani pencemaran sumber air

SHAH ALAM, 1 OGOS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) agensi penting dalam pelaksanaan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) melalui pembangunan sistem bagi menangani pencemaran sumber air yang dibekal ke loji rawatan air (LRA).

Pengarahnya Hasrolnizam Shaari berkata sistem yang dibangun di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Semenyih mampu mengalih aliran air sungai yang mengandungi elemen pencemaran secara lencongan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari ketika temu bual khas bersama Media Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 31 Julai 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR

“Kemudian pembekalan yang sampai ke muka sauk kepada LRA terlibat akan mengambil sistem bekalan air mentah terus dari kolam berhampiran.

“Jika di Sungai Selangor akan terus ambil bekalan air mentah dari Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 yang mampu bertahan tanpa putus selama lima hari.

“Begitu juga LRA Semenyih akan mengambil air terus dari kolam takungan yang ada di kolam Semenyih. Aliran air tersebut akan dibuat sekatan dan dilencong terus,” katanya semalam.

Bercakap dalam temu bual bersama Media Selangor, beliau turut memaklumkan pembangunan sistem terbabit mencapai kemajuan lebih 90 peratus dengan jangkaan beroperasi suku keempat tahun ini.

“Sekarang ia di peringkat penyiapan akhir dan pengujian. Berdasarkan pemerhatian, pelaksanaan projek ini mengikut tempoh ditetapkan sejak dimulakan awal tahun lepas,” katanya.

Diperkenal menerusi Belanjawan Selangor 2021, SJAM bertujuan menangani insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah di negeri ini selain melibatkan inisiatif rondaan serta pemantauan proaktif 24 jam yang digerakkan Pasukan Tindakan Segera LUAS.

Pada 11 Julai, EXCO infrastruktur menjelaskan projek merangkumi empat pakej membabitkan LRA Sungai Selangor fasa satu hingga tiga mencapai 89.54 peratus kemajuan.

Ir Izham Hashim berkata pakej D projek itu di Semenyih tertangguh seketika susulan penemuan paip utiliti milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan perlu dialihkan.

Namun katanya tiada lagi lanjutan masa diberi jika kelewatan menyiapkan projek tersebut ekoran kesalahan kontraktor sendiri, sebaliknya ganti rugi pada kadar ditetapkan akan dikenakan untuk tempoh kerja yang tidak siap mengikut peruntukan dipersetujui dalam syarat kontrak.

Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (Horas) 600 di Bestari Jaya, Kuala Selangor menerusi tinjauan SelangorKini pada 23 Februari 2022 berperanan mengurangkan kebergantungan kepada sumber air mentah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :