AGENDASUKANKINI

e-Sukan: Sarawak anggap Selangor pesaing terbesar dalam temasya SUKMA

KUCHING, 2 OOGOS: Pasukan e-sukan Sarawak menganggap Selangor sebagai pesaing terbesar mereka dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan diadakan di sini, bulan ini.

Pengurus Pasukan e-Sukan Sarawak Darren Kueh berkata pasukannya berwaspada terhadap ancaman dari Selangor tetapi yakin kelebihan sebagai tuan rumah akan memberi mereka kelebihan untuk mengatasi mana-mana pasukan.

“Selangor sememangnya pesaing terbesar kami kerana semua pemain mereka mempunyai banyak pendedahan, terutamanya dalam kejohanan antarabangsa.

“Walaupun berdepan cabaran ini, kami menyasarkan tiga pingat emas terutamanya dalam acara simulasi perlumbaan dan juga podium bagi permainan lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengenai persiapan pasukan, Darren berkata mereka telah bermula sejak Mac dan para atlet kini ditempatkan di pusat latihan yang ditetapkan.

“Kami menghimpunkan mereka di sini (pusat latihan) supaya dapat memberi tumpuan kepada latihan. Kami juga mengadakan perbincangan strategi dan ulasan perlawanan terdahulu dengan jurulatih mereka di pusat tersebut,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak juga memberikan sokongan penuh untuk memastikan atlet mencapai prestasi terbaik.

“Malah, kerajaan Sarawak turut menghantar pakar pemakanan untuk memberikan suplemen kepada para atlet. Kami juga mempunyai ahli psikologi yang berinteraksi dengan atlet kami untuk memberikan ceramah motivasi,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai industri e-sukan Sarawak secara keseluruhan, beliau berkata buat masa ini sukan tersebut masih dalam peringkat pembangunan kerana ramai atlet kurang pendedahan dalam menyertai pertandingan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun tempatan.

“Berbanding menghantar pemain ke luar negara, kami cuba membawa kejohanan antarabangsa ke Sarawak, kami mahu atlet dari negara lain seperti Brunei, Indonesia dan Singapura datang ke sini dan memberi pendedahan lebih kepada atlet kami,” tambahnya.

SUKMA 2024, yang dijadualkan dari 17 hingga 24 Ogos, akan dianjurkan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Temasya kali ini akan mempertandingkan 488 acara, merangkumi 37 sukan, terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita, dan 35 acara campuran, serta dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

– BERNAMA

 


Pengarang :