Pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) antara yang terangkum dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Foto laman web klia2.info
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Operasi lapangan terbang Subang kukuhkan khidmat selenggara

SHAH ALAM, 2 OGOS: Pengoperasian semula enam syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dijangka mengukuhkan khidmat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri akan meningkatkan usaha mengembangkan sektor aeroangkasa di Selangor dengan memanfaatkan peningkatan operasi industri penerbangan melalui LTSAAS.

EXCO Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han

“Selangor mempunyai 67 peratus daripada 250 syarikat berkaitan aeroangkasa di Malaysia. Ia beroperasi di Serendah, Sepang dan Subang.

“Selangor turut mempunyai pemain industri Tier 1 seperti UMW Aerospace di Serendah yang membina selongsong bagi enjin pesawat Rolls Royce Trent 1000 dan Trent 7000 untuk Rolls Royce yang digunakan untuk kapal terbang Boeing dan Airbus.

“Jadi, pengoperasian semula jet enam syarikat penerbangan di Subang ini akan mengukuhkan pertumbuhan sektor aeroangkasa seperti pembuatan dan penyelenggaraan kapal terbang di Selangor dan Lembah Klang,” katanya kepada Media Selangor

Selasa lalu, menteri pengangkutan berkata enam syarikat penerbangan akan menyambung semula operasi di LTSAAS bermula semalam, menggunakan pesawat lorong tunggal.

Anthony Loke Siew Fook berkata enam syarikat penerbangan tersebut ialah FireFly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, SKS Airways, Transnusa, dan Scoot Pte Ltd.

Jelasnya, operasi penerbangan akan bermula dari 6 pagi hingga 10 malam sahaja, tanpa penerbangan tengah malam berikutan lapangan terbang itu terletak di kawasan perumahan.


Pengarang :