Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Md Kamarzan Md Rais mendengar penerangan produk ketika Karnival Usahawan PKNS (KUP) 2024 di Kompleks PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 3 Ogos 2024. FOTO SOFIA NASIR/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

168 usahawan PKNS diberi pendedahan dunia sebenar perniagaan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 168 usahawan daripada empat program keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyertai Karnival Usahawan PKNS (KUP) 2024 selama tiga hari bermula semalam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Md Kamarzan Md Rais berkata penganjuran kali kedua itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mengenai dunia sebenar perniagaan.

“Bagi memastikan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan usahawan dapat diteruskan, PKNS menggunakan pendekatan metodologi iaitu simulasi pelaksanaan perniagaan sebenar.

“Dengan menggunakan pendekatan simulasi ini, PKNS dapat membantu usahawan mengasah kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia perniagaan yang kompetatif,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis perasmian KUP 2024 di Kompleks PKNS di sini, hari ini. Hadir sama Duta Usahawan PKNS Datuk Rosyam Nor.

Peserta KUP 2024 terdiri daripada pelajar Program Tunas Niaga (Protune), Program Bina Bangun Usahawan (BizUp), Program Usahawan Siswazah (Grow) dan Program Usahawan Siswazah Lanjutan (Grow Plus).

Usahawan makanan sejuk beku, Noraini Ahmad

Sementara itu, usahawan makanan sejuk beku, Noraini Ahmad, 38, berkata niat untuk menambah ilmu menyebabkan beliau datang dari Tanah Merah, Kelantan untuk menyertai kursus berkenaan di Selangor.

“Saya cuba mencari peluang tambahan dan secara kebetulan produk saya banyak dipasarkan di Selangor. Pasaran di sini juga lebih besar. Saya juga mahu tambah lagi ilmu perniagaan, jadi saya pilih PKNS.

“Impaknya sangat besar selepas enam bulan saya sertai kursus ini. Walaupun saya sudah berniaga selama lapan tahun, banyak yang saya perlu baiki terutamanya dalam aspek pengurusan,” kata peserta Grow Plus itu.

Usahawan topi keledar, Muhammad Khairi Raulah

Bagi usahawan topi keledar, Muhammad Khairi Raulah, 27, kejayaan rakan hasil menyertai kursus keusahawanan anjuran PKNS mendorong beliau menyertai program sama.

Memulakan perniagaan sejak 2015, beliau bersyukur terpilih antara 90 usahawan muda daripada ribuan permohonan untuk menyertai kursus Grow yang dianjur secara percuma.

“Saya nampak ada alumni dari kursus PKNS ini yang sudah berjaya, jadi saya tanya dia apa rahsianya. Dia kemudian cadangkan saya sertai kursus keusahawanan bersama PKNS.

“Setakat ini memang nampak banyak perubahan kepada perniagaan saya. Ini pertama kali saya sertai jualan secara bersemuka seperti ini dan ia merupakan pengalaman terbaik kepada kami,” katanya.


Pengarang :