Ruang legar SACC Mall, Shah Alam pada 9 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

SACC dinaik taraf jadi pusat pameran bertaraf dunia pada 2026

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pusat beli-belah SACC akan dinaik taraf menjadi sebuah pusat pameran bertaraf dunia bermula suku pertama 2026.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata kerja-kerja menaiktaraf dan pembangunan semula pusat beli-belah itu merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan projek SA Sentral di Seksyen 14.

Menurutnya projek pembangunan SA Sentral yang akan dibangunkan secara berfasa itu dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.

“Ia turut melibatkan beberapa plot di kawasan Seksyen 14 termasuk Pusat Konvensyen SACC serta menaiktaraf dan penjenamaan semula Plaza Alam Sentral (PAS) dan Plaza Perangsang.

“PKNS merancang untuk membangunkan SA Sentral bagi tujuan peremajaan pusat bandar Seksyen 14, Shah Alam sebagai daerah pusat perniagaan (CBD) di atas tanah seluas 64.7 hektar.

“SA Sentral akan menampilkan pembangunan kediaman, komersial, pejabat, taman rekreasi, perpustakaan, stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) serta pusat pameran antarabangsa tersebut,” katanya.

Tambahnya, SA Sentral akan turut mempunyai pusat kebudayaan dan pelancongan menerusi projek The Spine yang terletak di pusat bandar Seksyen 14.

“Ia bagi mewujudkan hub kebudayaan dan kesenian demi mengekalkan elemen warisan budaya Melayu selain pusat perniagaan setempat.

“The Spine bakal menghubungkan Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam dan juga projek pembangunan yang akan datang seperti pangsapuri, kediaman serta hotel,” ujarnya.

Jelasnya lagi, PKNS turut merancang untuk membangunkan SA Sentral sebagai sebahagian daripada inisiatif transformatifnya.


Pengarang :