Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kanan), Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi (tengah) dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan (kanan) meninjau keadaan mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewa Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisek, Hulu Selangor pada 5 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih bantuan tunai, tuala wanita untuk mangsa banjir Hulu Bernam

HULU SELANGOR, 5 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan sumbangan tunai kepada 50 keluarga sekitar Hulu Bernam, di sini, yang terkesan banjir sejak Ahad lalu.

Turut diagihkan tuala wanita, selimut, air mineral, makanan kering dan cadar toto buat semua mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Sekolah, Kuala Kubu Bharu.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu tanda keprihatinan Kerajaan Selangor untuk meringankan beban mangsa bencana, selain berharap ia dimanfaatkan sebaiknya.

“Bantuan awal tunai sebanyak RM100 diserahkan terlebih dahulu hari ini, manakala baki RM400 disalur selepas proses dokumentasi setiap keluarga selesai dalam tempoh dua minggu.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (tiga, kiri), Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi (tiga, kanan) dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan (dua, kanan) menyampaikan barangan sumbagan MBI kepada wakil penduduk selepas meninjau keadaan mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewa Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisek, Hulu Selangor pada 5 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

MBI turut menyediakan bantuan lain untuk memenuhi keperluan mangsa di PPS, sebahagian peruntukan bencana sejumlah RM1 juta tahun ini,” katanya selepas melawat PPS berkenaan hari ini.

Sementara itu, setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar berkata koordinasi negeri dan penyelaras Parlimen Hulu Selangor dibuat untuk menyediakan bantuan tambahan kepada mangsa banjir.

Menurut Saifuddin Shafi Muhammad, ia tertumpu kepada fasa pembersihan di kawasan terjejas terutama kediaman warga emas dengan kerjasama pasukan sukarelawan dan agensi berkaitan.

“Kerajaan Negeri akan menghantar pasukan Sukarelawan Selangor (Serve) yang akan bekerjasama dengan agensi lain bagi melaksanakan misi bantuan pascabanjir di sini dalam waktu terdekat,” jelasnya.

Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan banjir di enam kampung sekitar Hulu Bernam iaitu Kampung Serigala, Sungai Nilam, Kampung Selisek, Kampung Sekolah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Lebar.

Mangsa banjir sekitar Kampung Sungai Selisik, Hulu Selangor ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewa Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisek, Hulu Selangor pada 5 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :