Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat (tengah) bersama para jururawat pada Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam Kesihatan Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) pada 5 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuepacs: Selari gaji baharu, penjawat awam diseru tingkat prestasi, integriti

KUALA TERENGGANU, 5 OGOS: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru penjawat awam supaya sentiasa memberikan komitmen tinggi dan meningkatkan prestasi kerja selari dengan kenaikan gaji.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata beliau percaya dengan kadar baharu gaji yang akan diumumkan perinciannya, kerajaan mahu melihat penjawat awam membuktikan kemampuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kenaikan gaji atau kadar baharu gaji ini diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 1 Mei lepas dan perinciannya akan diumumkan 16 Ogos ini, manakala pelaksanaannya pula pada Disember. Maksudnya kerajaan hendak lihat lebih awal sumbangan kita (penjawat awam) sebelum gaji dinaikkan.

“Jangan lagi ada soal integriti dan soal yang boleh dipertikai oleh netizen (masyarakat) kerana mereka ini mata dan telinga kerajaan. Kita sentiasa diperhatikan walaupun kita beri yang terbaik, sedikit kelemahan sudah pasti akan menjadi isu besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Bersama Presiden Cuepacs di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Adnan memberi jaminan bahawa penjawat awam sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas dan ia dibuktikan melalui peranan penting dimainkan mereka sebagai barisan hadapan semasa penularan pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji pada minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan.

Beliau berkata perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini.

Pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Dis tahun ini.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :