PBTSELANGOR

Bantahan kadar cukai, MBPJ adakan sesi pendengaran mulai 15 Ogos

PETALING JAYA, 5 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan menyemak semua bantahan berhubung kenaikan kadar cukai taksiran yang dikemuka penduduk.

Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya menerima 25,000 bantahan setakat Mei dan sesi pendengaran berhubung perkara tersebut akan diadakan dari 15 Ogos hingga 15 September.

“Sepanjang tempoh itu kita akan memanggil 1,000 orang sehari bagi mengemukakan bantahan mereka dan kita akan meneliti sebelum diangkat kepada Kerajaan Negeri.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat Petaling Jaya di Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya pada 5 Ogos 2024. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Rata-rata yang membantah sebelum ini pun atas faktor kos sara hidup yang tinggi malahan ada segelintir mempersoal kenapa baharu kini dinaikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Jalur Gemilang peringkat Petaling Jaya sempena Hari Kebangsaan ke-67 di MBPJ di sini hari ini.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Tujuh PBT lain juga tidak membuat semakan kadar cukai antara 20 hingga 40 tahun lalu seperti Majlis Perbandaran Kajang paling lama iaitu 39 tahun sejak 1985 serta Majlis Perbandaran Kuala Langat selama 37 tahun sejak 1987.

Bagi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pihak berkuasa tempatan itu tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1986.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.


Pengarang :