Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat (tengah) bersama para jururawat pada Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam Kesihatan Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) pada 5 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cuepacs hargai Selangor sedia lebih awal laksana kelulusan Putrajaya

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai usaha Kerajaan Selangor bersedia lebih awal melaksana sebarang bentuk kelulusan kerajaan persekutuan.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata perkara itu dapat dilihat menerusi pengumuman yang dibuat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung kadar kenaikan gaji penjawat awam Isnin lalu.

“Dato’ Menteri Besar maklum kadar atau peratusan akan mengikut sama seperti diumum perdana menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (Mappa) ke-19 pada 16 Ogos ini.

“Ini bermakna Selangor bersedia lebih awal untuk menerima pakai apa sahaja bentuk kelulusan yang akan dibuat di peringkat kerajaan persekutuan.

“Justeru, Cuepacs mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Selangor yang lebih awal bersedia dengan segala kemungkinan (pengumuman),” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, Adnan turut meminta penjawat awam di Selangor sentiasa memberikan komitmen tinggi dan meningkatkan produktiviti selaras dengan kenaikan gaji yang bakal dilaksana.

“Penjawat awam di Selangor diminta terus tumpu beri perkhidmatan terbaik kerana negeri ini jauh lebih maju dan sudah tentulah pelanggannya dan pemegang taruhnya terdiri daripada pelbagai peringkat.

“Justeru, sebagai penjawat awam kita perlu tahu sesuatu info terlebih dahulu sebelum rakyat tahu. Jangan leka dan terlalu selesa sebaliknya perlu mendahului rakyat seiring dengan slogan Dato’ Menteri Besar Selangor Maju Bersama,” katanya.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) berkata penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji pada minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan.

Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mappa ke-19 pada 16 Ogos ini.


Pengarang :