Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cenderahati dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas sempena majlis meraikan tahun ke-60 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 8 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: PKNS perlu berdaya tahan, peneraju pembangunan unggul negeri

SHAH ALAM, 8 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) perlu melakar masa depan dan merancang hala tuju seiring peranan sebagai peneraju pembangunan unggul negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata selepas enam dekad ditubuh, PKNS yang berubah menjadi konglomerat besar mesti kekal berdaya tahan dengan perubahan pantas ekosistem perniagaan selain bersaing dengan pemaju terkemuka lain.

“Meraikan enam dekad tidak seharusnya semata-mata hanya melihat ke belakang dan mengenang kejayaan masa lalu. PKNS perlu melihat masa depan serta berupaya menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya.

“Ini juga sepatutnya menjadi masa untuk merenung bagaimana kita boleh belajar daripada masa lalu bagi membina masa depan lebih baik, lebih mampan, lebih berdaya tahan sejajar dengan dunia yang kita diami hari ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis sambutan ulang tahun ke-60 PKNS dengan tema ‘Kembali Gemilang’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Hadir sama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas.

Dalam pada itu, Amirudin berkata PKNS kini memiliki tujuh sektor perniagaan berbeza termasuk industri tenaga diperbaharui, hospitaliti dan teknologi.

Jelasnya, PKNS sedang membangunkan perbandaran baharu dilengkapi pusat industri pintar seperti Kota Puteri, Antara Gapi dan Lembah Siber Selangor, seiring dengan perubahan teknologi semasa.

“Sebagai contoh, Taman Perindustrian Hijau di Kota Puteri akan menjadi pusat industri pintar dengan kemudahan kondusif untuk perniagaan dan menerapkan insiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Saya pasti ramai pelabur akan tertarik dengan Taman Perindustrian Terurus pertama di Malaysia yang menempatkan ladang solar untuk membekalkan tenaga hijau kepada kilang,” katanya.

Ditubuhkan pada 1 Ogos 1964, PKNS menyambut ulang tahun ke-60 pada tahun ini sebagai agensi pembangunan negeri antara yang terunggul di Malaysia.


Pengarang :