Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat kejayaan projek pembangunan PKNS ketika majlis meraikan tahun ke-60 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 8 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Shah Alam Sentral dilancar September, bandar bebas karbon, teknologi hijau

SHAH ALAM, 8 OGOS: Projek pembangunan Shah Alam Sentral (SA Sentral) oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini, bakal dilancar secara rasmi bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas berkata projek ikonik dengan kos RM2 bilion itu bakal disempurnakan dengan ciri bandar bebas karbon serta teknologi hijau.

“Projek berskala besar itu sebenarnya sudah bermula dan kita mulakan dengan proses membaik pulih Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC) termasuk kawasan letak tempat kereta.

“Projek peremajaan pusat bandar Seksyen 14 itu dilancarkan bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh lapan hingga 10 tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan ulang tahun ke-60 PKNS di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas bercakap kepada media selepas majlis meraikan tahun ke-60 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 8 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Program dengan tema ‘Kembali Gemilang’ di SACC itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dalam pada itu, Mahmud menambah, cadangan perobohan pusat beli belah SACC yang akan dilaksana dalam projek pembangunan SA Sentral bakal dimulakan pada akhir 2026 atau awal 2027.

Jelasnya, projek perobohan itu bagi memberi laluan kepada pembangunan sebuah pusat pameran kesenian bertaraf antarabangsa selain mengurangkan persaingan dengan Kompleks PKNS.

“Lebih 100 usahawan pusat beli belah SACC sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka akan dipindahkan ke Plaza Alam Sentral atau di Plaza Perangsang,” katanya.

April lalu, Amirudin berkata projek peremajaan Shah Alam merangkumi bangunan pusat beli belah SACC, Plaza Perangsang, Kompleks PKNS serta Menara MRCB dijangka bermula hujung tahun ini.

Menurutnya, projek secara berperingkat itu dijangka siap antara lapan ke 10 tahun dengan matlamat merancakkan ekonomi kawasan terbabit memandangkan ia merupakan ibu negeri.

Peserta menghadiri majlis meraikan tahun ke-60 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 8 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :