Wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 di Pekan Kuala Kubu Bharu pada 9 Ogos 2024.FOTO JABATAN PENERANGAN SELANGOR
ADNSELANGOR

Semarak perpaduan, ADN KKB edar Jalur Gemilang di kampung tradisi

SHAH ALAM,10 OGOS: Jalur Gemilang akan diedarkan di semua kampung tradisi di bawah Kuala Kubu Bharu bagi membangkitkan semangat cintakan negara.

Wakil rakyatnya Pang Sock Tao berkata program itu juga dapat menyemarak perpaduan selain mengingatkan generasi muda supaya mengerti makna sebenar kemerdekaan yang dicapai negara.

“Pejabat DUN akan bekerjsama dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor serta pejabat tanah dan daerah untuk menjelajah ke setiap kampung tradisi. Negara telah bebas daripada penjajahan selama 67 tahun dan sewajarnya mengekalkan perpaduan dikecapi selama ini.

“Sebenarnya program juga memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan masyarakat serta meninjau isu setempat,” katanya selepas menyertai majlis pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 di Pekan Kuala Kubu Bharu, semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 ke 10 negeri bagi menzahirkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Konvoi yang membawa Jalur Gemilang akan menyerahkan bendera antara satu negeri kepada negeri lain, yang akan berlangsung di sempadan negeri.

Konvoi tersebut membabitkan 90 peserta dan 65 kenderaan termasuk daripada Jabatan Penerangan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor.


Pengarang :