Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Ahli kumpulan samun diburu selepas seorang maut ditembak

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Polis memburu saki-baki anggota kumpulan bersenjata yang dikenal pasti terlibat dalam kes rompakan sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang, Jun lalu, yang salah seorang anggotanya maut selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis di sekitar Kajang petang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis percaya mereka masih bersembunyi di sekitar Selangor, dan beberapa tangkapan akan dilakukan tidak lama lagi.

“Polis percaya anggota kumpulan ini bersenjata dan berada di sekitar Selangor,” katanya hari ini.

Dalam kejadian 3 petang semalam seorang lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah samun maut selepas berbalas tembak dengan polis dalam kejadian di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) dekat Kajang.

Polis percaya lelaki itu adalah salah seorang anggota kumpulan yang terlibat dengan kejadian 17 Jun lalu yang menyaksikan empat lelaki menggunakan senjata api melakukan samun terhadap kedai emas di Plaza Metro Kajang mengakibatkan kerugian RM3.2 juta.

Dalam kejadian itu suspek bersenjatakan dua pucuk pistol dan selaras senapang melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri ke arah tempat letak kenderaan di bahagian bawah bangunan.

– BERNAMA


Pengarang :