Suasana pilu apabila ahli keluarga penyanyi Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ditemui meninggal dunia di Sungai Klang selepas dilaporkan hilang ketika keluar beriadah, tidak dapat menahan kesedihan semasa tiba di Unit Forensik Hospital Shah Alam pada 14 Ogos 2024. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Mayat penyanyi ditemukan di Sungai Klang, bedah siasat di Hospital Shah Alam

SHAH ALAM, 15 OGOS: Mayat Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang ditemukan di Sungai Klang petang semalam dibawa ke Unit Forensik Hospital Shah Alam (HSA) untuk urusan bedah siasat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia selepas proses pengecaman mayat selesai dilakukan oleh ahli keluarga mangsa di lokasi kejadian malam tadi.

“Siasatan lanjut dari segi klasifikasi kes akan dibuat selepas mendapat hasil bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga penyanyi berusia 23 tahun itu telah berkumpul di HSA sebelum kenderaan yang membawa jenazah beliau tiba pada kira-kira 10.30 malam.

Difahamkan, kehadiran ahli keluarga Muhammad Nidza Afham itu adalah bagi mengikuti urusan bedah siasat yang dijangka dijalankan malam tadi.

Muhammad Nidza Afham dikatakan keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri sebelum kehilangannya disedari pada 9 malam kelmarin.

Adiknya, Afrina Hanie mendakwa kehilangan mangsa berkaitan dengan kes samun susulan kad debit dan wang tunai hilang manakala kad pengenalan, kad pelajar dan gambar beliau yang disimpan di dalam dompet tidak terusik ketika dijumpai di atas Jambatan Sungai Klang.

– BERNAMA


Pengarang :