Siti Suraya Sharif, 41, (kanan) dan Farkhana Nasron, 38, menunjukkan produk mereka ketika temu bual Media Selangor bersama pengusaha Sorrellicious Roselle (Penerima Anugerah Usahawan Terbaik Bizup PKNS) di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Usahawan wanita bangkit dari musibah besar, bekal dua tan roselle

Dua musibah dalam masa singkat mengakibatkan dua peniaga wanita yang mengusahakan tanaman bunga roselle menanggung kerugian besar.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 hingga Disember 2021 menyebabkan 2,500 pokok bunga itu mati berikutan mereka tidak dapat mengurus tanaman tersebut. Mereka kerugian RM30,000.

Setahun kemudian, banjir besar menghanyutkan bahan binaan projek premis perniagaan mengakibatkan Siti Suraya Shariff, 41, dan rakan kongsinya Farkhana Nasron, 38, rugi RM40,000 pula.

Tidak berputus asa, mereka cekal meneruskan perniagaan produk berasaskan bunga roselle hingga menembusi beberapa rangkaian pasar raya di Lembah Klang, Melaka dan Perak.

Siti Suraya Sharif, 41, (kiri) dan Farkhana Nasron, 38, menunjukkan roselle yang telah matang ketika temu bual Media Selangor bersama pengusaha Sorrellicious Roselle (Penerima Anugerah Usahawan Terbaik Bizup PKNS) di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Produk itu turut dijual dalam talian dan premis tertentu di Kampung Johan Setia, Klang. Permintaan tinggi antaranya kordial, minuman jus, halwa, pati, roselle kering, biskut, bahulu dan jem.

Kecekalan itu membawa Siti Suraya dinobat Usahawan Terbaik Perbadanan Program Bermodul Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Farkhana, Usahawan Terbaik Jabatan Pertanian Selangor, kedua-duanya pada tahun lalu.

Roselle, spesies bunga raya dipanggil Hibiscus Sabdarifa L, lebih dikenali sebagai asam paya, asam kumbang atau asam susur dalam kalangan penduduk tempatan. Kelopaknya boleh dibuat sirap, teh dan minuman lain. Kaya vitamin A, C dan amino asid, ia baik untuk stamina.

Penanaman tersebut mulanya dilakukan Siti Suraya sebagai hiasan rumah pada 2017. Benih pokok itu dibeli di nurseri dan Jabatan Pertanian Negeri. “Dalam 2018, saya muat naik di Facebook untuk cuba menjual bunga roselle. Rupa-rupanya ada permintaan. Mula-mula bekalkan sedikit sahaja dalam sekilo dua roselle segar.

“Makin lama makin bertambah hinggalah mampu bekalkan ke kilang pengeluar produk berasas roselle dan restoran,” katanya kepada Selangorkini pada 16 Julai.

Setahun kemudian, lulusan sarjana pembangunan sumber manusia Universiti Teknologi Malaysia itu mengajak Farkhana mengusahakan penanaman di tanah milik saudaranya di belakang rumah.

Didorong permintaan menggalakkan, mereka menyewa tanah milik Majlis Agama Islam Selangor seluas kira-kira dua ekar dan menanam 1,500 pokok, menjadikan bilangan keseluruhan 2,500 pokok.

Berhenti kerja

Kedua-dua wanita juga berhenti kerja demi memberi tumpuan penanaman tersebut. Malangnya, negara dilanda penularan Covid-19 pada awal 2020, mendorong pelaksanaan PKP.

“Belum sempat keluar hasil terus PKP. Kita semua tidak boleh keluar (rumah), kebun tidak terjaga. Mula-mula tidak dapat surat Jabatan Pertanian. Bila dapat surat pelepasan, pergi tengok kebun pokok semua rosak dan mati,” kata Siti Suraya.

Justeru, Siti Suraya dan Farkhana terpaksa mengeluarkan modal lagi kira-kira RM30,000 untuk merawat tanah dan menanam semula pokok tersebut.

Tatkala wabak beransur pulih, mereka menghasilkan produk berasaskan roselle atas jenama Sorrellicious Roselle. Mereka membina premis baharu untuk menampung operasi pemprosesan. Ketika projek itu separuh siap, banjir besar melanda negeri pada Disember 2021.

“Semua rosak. Jadi, kena keluar modal lagi sekali. Mac 2022 baru dapat beroperasi di premis baharu,” kata Siti Suraya.

Kesungguhan dua ibu itu mendapat perhatian Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Jabatan Pertanian dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor.

Farkhana Nasron, 38, menunjukkan roselle yang telah matang ketika temu bual Media Selangor bersama pengusaha Sorrellicious Roselle (Penerima Anugerah Usahawan Terbaik Bizup PKNS) di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Upen Selangor melalui Dana Usahawan Mikro membantu dari segi peralatan memasak bernilai RM10,000. Mardi mendapatkan kelengkapan antaranya mesin, meja dan rak bernilai RM20,000 melalui Geran Agropreneur Muda (GAM). Mereka turut menerima geran pembungkusan daripada Jabatan Pertanian manakala Fama membantu dalam segi pemasaran.

Jumlah tanaman meningkat kepada 10,000 pokok di atas tanah seluas 10 ekar di Kampung Johan Setia Klang, Teluk Panglima Garang, Banting, Batang Kali, Tampin Negeri Sembilan dan Kuala Kangsar Perak.

Turut mengupah tujuh pekerja, kedua-dua wanita itu meraih pendapatan purata RM15,000 sebulan melalui jualan produk. Mereka membekal 1.8 hingga dua tan metrik roselle segar kepada pengilang sekitar RM12,000 sebulan.


Pengarang :