AGENDAJENAYAH

Kes bunuh Istiqomah: Polis serah kertas siasatan kepada pendakwa hari ini

MELAKA, 15 OGOS: Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan kejam guru wanita Istiqomah Ahmad Rozi, 33, akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) hari ini untuk arahan lanjut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata PPN dijangka mengeluarkan arahan pendakwaan sama ada petang ini atau esok, dan pendakwaan terhadap seorang suspek kes itu dijangka selewat-lewatnya Isnin ini.

“Ketua Polis Melaka (Datuk Zainol Samah) dijangka mengeluarkan siaran media khas dan kita akan maklum juga bila suspek akan dituduh di mahkamah,” katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada pemberita di sini hari ini.

6 Januari lalu, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang kira-kira 2 petang.

Selepas hampir lapan bulan berlalu, Isnin lalu Ashari mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, guru yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.

Susulan itu Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, menahan suami isteri berusia 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos.

– BERNAMA


Pengarang :