AGENDANASIONAL

SUKMA 2024: Jurulatih kebangsaan cari ‘permata’ baharu tenpin boling

KUCHING, 15 OGOS: Bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat dalam sukan tenpin boling, jurulatih remaja kebangsaan turun padang untuk ‘mengikat’ atlet muda berpotensi yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 bagi digilap menjadi ‘permata’ berharga negara.

Alex Liew berkata antara kriteria dinilai ialah kemahiran dan ketahanan mental atlet terutama dalam mengawal tekanan.

“Saya datang dengan Majlis Sukan Negara dan saya mempunyai beberapa nama dalam senarai (atlet) dari Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak juga memiliki beberapa pemain berbakat tapi sebenarnya ada lagi di negeri lain. Disebabkan ini hari pertama, jadi perlahan-lahan (membuat penilaian).

“Saya lebih kepada pemilihan atlet lelaki tetapi nanti akan berbincang dengan seorang lagi jurulatih untuk lihat kedua-duanya (atlet lelaki dan wanita),” katanya kepada Bernama di Megalanes Emart, Batu Kawa di sini hari ini.

Beliau juga akan memantau kesemua 15 atlet muda negara terdiri daripada sembilan lelaki dan enam wanita yang mengambil bahagian dalam temasya dwitahunan kebangsaan berkenaan.

Beliau berkata ia bagi memastikan barisan atlet muda negara mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pihaknya menuju kepada beberapa kejohanan besar yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Setiap tahun kita ada KPI untuk atlet. SUKMA kali ini antara kejohanan utama mereka untuk mencapai KPI itu. Mereka kena menang pingat (dan) tanpa pingat kita kena tengok pencapaian keseluruhan mereka sepanjang tahun,” katanya.

Sukan tenpin boling yang membuka tirai di sini menawarkan keseluruhan 11 pingat emas bermula dengan acara perseorangan lelaki dan wanita hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :