Mandy Cebelle Chen sekali lagi menyumbangkan pingat emas buat Kontinjen Negeri Selangor menerusi acara Wushu Toulu Taijiquan Wanita yang berlangsung di Dewan Wushu, Petra Jaya pada 15 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDASUKANKINI

SUKMA 2024: Kejayaan Mandy Cebelle suntik semangat kontinjen Selangor

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kejayaan atlet wushu Mandy Cebelle Chen meraih dua emas menyuntik semangat kontinjen Selangor memburu kejayaan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri berkata keputusan itu meletakkan Selangor di landasan tepat untuk menambah pingat seperti disasarkan sebelum ini.

“Setakat dua hari kejohanan (yang menawarkan pingat), kita berada di landasan tepat untuk meraih pingat selepas kejayaan Mandy memperoleh emas dalam sukan wushu.

“Semalam beliau menang dalam acara taijijian yang memang kita sasarkan emas. Hari ini beliau berjaya tambah pingat dalam taijiquan walaupun kita senaraikan acara itu bawah sukan yang akan beri kita ‘bonus’ dari segi kutipan pingat,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada Media Selangor hari ini.

Mandy muncul atlet pertama meraih dua emas dalam temasya dwitahunan kali selepas mengungguli akhir tajiquan wanita hari ini.

Atlet berusia 21 tahun ini memperoleh 9.606 mata mengatasi cabaran sengit wakil Wilayah Persekutuan ditempat kedua dengan 9.600 mata manakala Sarawak ketiga.

Semalam, Mandy turut menguasai acara taijijian dengan mengumpul 9.603 mata untuk menyumbang emas pertama Selangor menewaskan atlet tuan rumah Carmen Jia Min Chaw dan wakil Wilayah Persekutuan Kwan Yong Xin.

Mengulas mengenai persembahan pasukan berbasikal negeri Mohamad Nizam berkata hujan lebat sejak pagi merencatkan persembahan Selangor untuk menaiki podium.

“Perlumbaan kali ini turut melibatkan kawasan berbukit dan hujan sejak pagi mengakibatkan peluang 50-50 untuk semua pelumba.

“Kawasan berbukit memang menguji kekuatan fizikal dan mental semua pelumba. Bagaimanapun pelumba kita berjaya menamatkan perlumbaan hari ini,” katanya.

SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan. Seramai 9,927 atlet dari seluruh negara mengesahkan penyertaan selain Brunei sebagai kontinjen jemputan.


Pengarang :