AGENDAJENAYAH

Bayi baru lahir ditemui dalam besen berhampiran bengkel motosikal

IPOH, 15 OGOS: Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat di dalam sebuah besen berhampiran bengkel motosikal di Pekan Titi Serong, Parit Buntar, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada orang awam pada 4.50 petang.

“Seorang lelaki yang secara kebetulan melalui di kawasan itu terdengar bunyi rengekan, telah menemukan bayi itu yang dibaluti dengan kain. Lelaki itu kemudiannya menghantar bayi berkenaan ke pusat kebajikan yang berhampiran.

“Kita akan rakam percakapan saksi-saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar bayi itu ditemukan,” katanya pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Beliau berkata bayi perempuan seberat 2.1 kilogram itu dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk menjalani rawatan lanjut, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

— BERNAMA


Pengarang :