AGENDANASIONAL

Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik suku kedua, hasil positif ekonomi Madani

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad & Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Prestasi ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada suku kedua tahun ini dengan perbelanjaan isi rumah, pengeluaran dan pelaburan mencatatkan peningkatan berikutan keyakinan terhadap pasaran serta sentimen positif hasil pelaksanaan Ekonomi Madani.

Pakar Ekonomi Prof Emeritus Barjoyai Bardai daripada Universiti Sains dan Teknologi berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024 berbanding 4.2 peratus pada suku pertama adalah bersandarkan kepada asas kukuh selain harga stabil dengan kadar inflasi semasa berada pada dua peratus.

“(Prestasi) paling penting (yang kita akan lihat) ialah peningkatan perbelanjaan isi rumah, disebabkan oleh keyakinan isi rumah yang semakin baik.

“Selain itu, sentimen ekonomi juga dibantu oleh peningkatan eksport dan import pada (suku pertama) serta kadar pengangguran yang kekal pada 3.3 peratus,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan data rasmi KDNK Suku Kedua 2024 Jumaat ini.

Pada Suku Pertama 2024, eksport meningkat 2.2 peratus kepada RM362.41 bilion manakala import menokok 13.1 peratus kepada RM328.19 bilion.

 

Kerajaan di Landasan Tepat Pacu Pertumbuhan Ekonomi

 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan KDNK berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024 berbanding 4.2 peratus pada suku pertama, sekali gus membuktikan kerajaan berada pada landasan tepat dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani.

Beliau berpendapat pertumbuhan positif itu akan disokong aktiviti pelaburan yang memberangsangkan dengan pelaburan diluluskan dalam pelbagai bidang berjumlah RM83.7 bilion pada Suku Pertama 2024.

Ia merupakan peningkatan 13 peratus daripada RM74.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

“Data pelaburan menunjukkan negara berada pada landasan tepat untuk melaksanakan pembaharuan seterusnya kerana ini akan mewujudkan lebih banyak ruang fiskal bagi kerajaan untuk berbelanja dalam sektor produktif.

“Selain itu, ia juga memberi gambaran kerajaan menguruskan kewangan secara bertanggungjawab yang akan membawa keyakinan kepada pasaran terhadap penarafan kedaulatan negara dan potensi pendapatan,” katanya.

Pada Suku Pertama 2024, pelaburan domestik dan asing yang diluluskan Malaysia masing-masing berjumlah RM36.7 bilion dan RM47 bilion manakala sektor perkilangan mencatatkan peningkatan ketara kepada RM43 bilion.

 

Dasar Kerajaan Pengaruhi Keyakinan Terhadap Ekonomi

 

Menurut Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) rangka kerja Ekonomi Madani yang merangkumi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) telah menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan ekonomi.

ACCA berkata Malaysia memperkenalkan beberapa perubahan struktur di bawah Belanjawan 2024, termasuk pelaksanaan cukai keuntungan modal dan langkah untuk meningkatkan pematuhan cukai melalui e-invois yang dijangka menyokong penyatuan fiskal dan kestabilan ekonomi.

“Keyakinan terhadap ekonomi Malaysia seiring dengan aliran global, dengan ekonomi menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan meskipun ketidaktentuan ekonomi global.

“Indeks Keyakinan Perniagaan di Malaysia meningkat kepada 94.30 mata pada Suku Pertama 2024, berbanding 89 mata pada suku sebelumnya.

“Ini mencerminkan tinjauan positif dalam kalangan perniagaan, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan dasar kerajaan yang menyokong,” katanya baru-baru ini.

 

Perkaitan Positif FBM KLCI-KDNK

 

Mohd Afzanizam berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan peningkatan ketara baru-baru ini dan jumlah pembelian bersih oleh pelabur asing dalam ekuiti dan bon masing-masing berjumlah RM1.4 bilion dan RM7.8 bilion pada Julai.

Beliau juga berkata bahagian pemilikan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan juga meningkat masing-masing kepada 34.2 peratus dan 9.3 peratus pada Julai daripada 33.3 peratus dan 9.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Apabila pelaburan dijangka meningkat, kita juga menjangkakan kualiti KDNK akan bertambah baik.

“Ini bermakna terdapat lebih banyak penggunaan teknologi tinggi dalam proses pengeluaran yang juga akan diterjemahkan kepada permintaan lebih tinggi untuk pekerja berkemahiran tinggi. Ini akan menggalakkan produktiviti dan meningkatkan pengetahuan seterusnya mempercepatkan pengembangan KDNK,” katanya.

Rangka kerja Ekonomi Madani, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Julai 2023, menetapkan tujuh petunjuk utama sebagai sasaran jangka sederhana yang perlu dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Petunjuk tersebut adalah Malaysia berada dalam kalangan 30 teratas ekonomi terbesar dunia; 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global; pendapatan buruh membentuk 45 peratus daripada jumlah pendapatan; penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencecah 60 peratus; 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia; 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah; dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal sebanyak tiga peratus atau lebih rendah.

– BERNAMA


Pengarang :