Penguat kuasa MPS ketika malakukan operasi di salah sebuah premis yang diserbu di sekitar Wangsa Permai, Selayang pada 14 Ogos 2024. Foto MPS
PBTSELANGOR

Tiada lesen sah, MPS serbu tiga premis diusaha warga asing

SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerbu tiga premis dikendalikan warga asing kerana beroperasi tanpa lesen di sekitar Wangsa Permai semalam.

Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Korporatnya memaklumkan MPS turut menyita pelbagai barangan termasuk minuman keras dan produk makanan yang berasal dari negara luar.

“Berdasarkan hasil risikan, tiga premis ini disyaki telah beroperasi tanpa kelulusan dan dikendalikan oleh warga asing menggunakan lesen milik warga tempatan.

“Premis ini menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga mereka sendiri dengan hanya menjual makanan dan barangan runcit dari negara asal selain mengubah suai menjadikan pusat hiburan karaoke khas serta tempat aktiviti perniagaan kedai makan tanpa kelulusan,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan itu, MPS merampas pelbagai peralatan termasuk minuman keras, peralatan karaoke dan audio visual dan kamera litar tertutup (CCTV).

“MPS telah mengeluarkan tujuh kompaun antaranya di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Establisymen Makanan MPS 2007, UUK 3(1), UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPS 2007, UUK 3(1) dan UUK Pelesenan Tred.

“Operasi ini menghadapi sedikit kesukaran disebabkan lokasi premis yang terletak di tingkat atas bangunan dan dikawal oleh pemilik premis dengan pagar berkunci dan dilengkapi CCTV.

“Oleh itu, MPS menyeru kerjasama penduduk yang mempunyai maklumat berkaitan premis yang beroperasi tanpa kelulusan terutama dikendali warga asing menyalurkan maklumat,” katanya.

Operasi yang bermula jam 8 malam itu diketuai Timbalan Yang Dipertua MPS Adi Faizal Ahmad Tarmizi yang dibantu 26 anggota dan pegawai.


Pengarang :