Sebahagian aksi Selangor ketika menentang Wilayah Persekutuan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B saingan bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di Padang D, Petra Jaya pada 14 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDASUKANKINI

Bola sepak wanita: Selangor ke separuh akhir selepas tewaskan Pulau Pinang

KUCHING, 18 OGOS: Empat pasukan mengesahkan tempat ke separuh akhir bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, namun padanan lawan masing-masing hanya akan diketahui esok.

Empat pasukan berkenaan ialah Wilayah Persekutuan selaku juara Kumpulan B, Selangor (naib juara Kumpulan B) manakala penentuan juara Kumpulan A antara Pahang dan Sabah akan diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal pertandingan.

Pahang dan Sabah ketika ini berkongsi jumlah mata dan perbezaan jaringan yang sama.

Sementara itu, Selangor menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium D, Petra Jaya hasil jaringan Ayuna Anjani Lamsin pada minit ke-39 dan Nur Amirah Abdul Rahman pada minit ke-61.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan A, tuan rumah Sarawak kecundang 0-3 kepada Sabah.

Gol Sabah dihasilkan Fleyvianniezie Ishak pada minit ke-27 dan ke-77 manakala gol ketiga menerusi sepakan penalti Azzlyeanieh Kinuli (73’).

Perlawanan separuh akhir dijadual berlangsung pada 20 Ogos, diikuti final pada 22 Ogos di Stadium Negeri.

– BERNAMA


Pengarang :