Atlet Boling Padang Selangor, Alif Haikal Hakimi Ariffuddin dan Nurul Ain Ibrahim menyumbang pingat emas menerusi acara beregu campuran di Arena Lawn Bowls, Sarawak pada 19 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Alif Haikal, Nurul Ain pertahan pingat emas Selangor acara boling padang

KUCHING, 19 OGOS: Persiapan singkat tidak menghalang pasangan boling padang Selangor mempertahankan pingat emas acara beregu campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Arena Lawn Bowls Petra Jaya hari ini.

Pertama kali digandingkan, Alif Haikal Hakimi Ariffuddin dan Nurul Ain Ibrahim menewaskan pasangan tuan rumah Awang Mohamad Sharszan Fiyrman Awang Nasaruddin-Nur Syurhaidah Asaral dari Sarawak 12-10 pada final.

Alif Haikal, 20, berkata beliau dan Nurul Ain hanya dimaklumkan perlu bergandingan dua bulan sebelum kejohanan dan mengakui berdepan tugas berat mempertahankan pingat emas dimenangi atlet senior dua tahun lalu.

“Kami menjalani latihan bersama-sama kurang daripada lima kali, jadi apa kami lakukan ialah fokus kepada cara permainan masing-masing, tingkatkan kemahiran serta teknik balingan. Satu cabaran dan ia dilaksanakan dengan baik,” katanya di sini hari ini.

Alif Haikal berkata mereka menerima tentangan sengit daripada pasangan tuan rumah, namun dapat mengatasinya dengan mengurangkan kesilapan ketika perlawanan.

Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu turut memuji Nurul Ain, 19, yang lebih positif dan tenang terutamanya ketika berdepan situasi sengit ketika perlawanan.

Nurul Ain menyifatkan kemenangan itu amat bermakna kerana sebelum ini bersama-sama pasukan sebagai pemain simpanan.

“Apabila diberi peluang beraksi dalam pairs campuran ini, saya berazam mahu membuktikan kemampuan untuk menyumbang pingat kepada pasukan, saya sangat teruja dipilih beraksi pada SUKMA kali ini,” katanya menambah akan mengambil bahagian dalam acara fours wanita selepas ini.

– BERNAMA


Pengarang :