Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Broga, Semenyih, Hulu Langat pada 6 September 2023. Foto X Infrasel
AGENSISELANGOR

Projek turapan mega bantu kurangkan risiko kemalangan, beri manfaat ribuan penduduk

SHAH ALAM, 20 OGOS: Inisiatif Kerajaan Negeri menurap jalan rosak di persiaran Bandar Rinching, Semenyih tahun lalu berjaya mengurangkan kadar kemalangan di kawasan itu.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 22 Mohd Zulkifli Ridzwan berkata insiatif menerusi Projek Turapan Mega itu bukan saja memanfaatkan penduduk di lebih 2,000 kediaman sekitar malah pengguna dari luar Semenyih.

“Jalan itu antara jalan utama menghubungkan bandar Rinching dan bandar Ecohill jadi ia memang sibuk. Sebelum diturap banyak lubang di kawasan berkenaan yang sering menyebabkan kemalangan terutama waktu malam.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 22 Mohd Zulkifli Ridzwan

“Kadang kala lampu rosak dan jalan gelap. Jadi motosikal terutamanya paling berisiko kerana tidak nampak lubang. Selepas diturap, memang jarang dengar berlaku kemalangan.

“Jadi diharap tahun ini turapan jalan boleh diteruskan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu pekerja swasta, Aliah Shari,35, berkata beliau menggunakan laluan berkenaan berulang alik dari tempat kerja di Semenyih ke rumahnya di Serdang.

“Bila pulang pada waktu malam, kadang-kadang terlanggar lubang kerana keadaan jalan gelap. Banyak juga lihat kemalangan berlaku terutama motosikal.

“Tapi selepas diturap memang lancar saja perjalanan. Jadi projek infrastruktur seperti baiki jalan seperti ini wajar diteruskan kerana manfaatnya sangat besar untuk pengguna jalan raya,” katanya.

Pekerja swasta, Aliah Shari, 35

Tahun lalu Kerajaan Selangor mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh.

Meliputi jarak 94.9 kilometer, kerja penyelenggaraan itu melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Sebelum ini EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan Projek Turapan Mega diteruskan tahun ini melibatkan peruntukan RM20 juta bagi memastikan jalan dalam keadaan baik sekali gus menjamin keselamatan pengguna.

Katanya menerusi peruntukan tambahan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), projek melibatkan semua laluan termasuk jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kampung.


Pengarang :