SHAH ALAM, 21 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan melantik semula Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor sebagai Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Tuanku Canselor universiti berkenaan melantik Tengku Amir Shah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 18 Oktober hingga 17 Oktober 2027.
“Turut dilantik semula sebagai Pro Canselor adalah Profesor Emeritus Dato’ Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie.
“Dalam majlis sama Baginda berkenan melantik mantan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Tan Sri Peter Chin Fah Kui sebagai Pro Canselor UPM yang baharu,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.
Majlis berlangsung di Istana Bukit Kayangan, di sini semalam. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPM Dato’ Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.