Tiub ujian berlabel virus cacar monyet positif dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 23 Mei 2022. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Cacar monyet tidak mudah merebak, kemungkinan mutasi sangat kecil

SHAH ALAM, 22 OGOS: Kemungkinan cacar monyet bermutasi menjadi lebih ganas di negara ini sangat kecil berikutan sifat virus itu hanya menular melalui sentuhan fizikal termasuk aktiviti sosial.

Pakar kajian virus Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata keadaan itu berbeza dengan Covid-19 yang lebih mudah tersebar melalui percikan air liur ketika bercakap atau batuk, lapor Sinar Harian.

Tidak menafikan virus tersebut boleh membawa maut, bagaimanapun, beliau menjelaskan ia tidak mudah merebak seperti Covid-19 dengan kadar kematian antara tiga hingga lima peratus.

“Jangkitan wabak ini biasanya menular melalui sentuhan atau hubungan seksual. Jadi, kemungkinan ia bermutasi menjadi ganas adalah sangat kecil,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Kenyataan itu bagi mengulas kemungkinan wabak yang semakin menular di Afrika berupaya merebak lebih ganas seperti Covid-19 yang menyerang dunia termasuk Malaysia beberapa tahun lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini dilaporkan bersiap sedia dengan mengukuhkan pengawasan dan kesedaran berkaitan virus itu, termasuk meningkatkan pemantauan di pintu masuk antarabangsa.

Ia susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bahawa virus itu sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas.

Setakat semalam, Republik Demokratik Congo mencatat lebih 570 kematian akibat jangkitan wabak itu.

 


Pengarang :