Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) memberi risalah cegah demam denggi kepada orang ramai yang hadir Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pelabuhan Klang di Pulau Indah pada 12 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Sukarelawan kesihatan Selangor komited bantu penduduk

Oleh AIDA MOHAMED NYAN

SHAH ALAM, 22 OGOS: Sejak ditubuhkan pada 2021, Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) komited menyumbang tenaga serta kepakaran kepada penduduk di negeri ini.

Penasihat Sukarelawan SUKA Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa Dr Uma Rani Ramakrishnan berkata pertubuhan itu banyak melaksanakan peranan dan tanggungjawab.

“Sebelum ini SUKA memang ditubuhkan untuk Covid-19.

“Kami buat ziarah medik. Bila ada orang sakit, mereka akan telefon kami minta bantuan katil, kerusi roda dan sebagainya,” kata beliau dalam program bual bicara Hai Selangor.

Penasihat Sukarelawan SUKA Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa Dr Uma Rani Ramakrishnan

Menurut Dr Uma, pihaknya juga menganjurkan program untuk anak istimewa termasuk disleksia dan autistik.

“Kami bekerjasama dengan NGO untuk buat pemeriksaan mata dan selepas pemeriksaan pun, kami ambil inisiatif, ambil cuti untuk bantu mereka,” tambah beliau.

Dr Uma menjelaskan sehingga kini terdapat lebih 600 individu mendaftar sebagai sukarelawan SUKA.

Katanya, penyertaan untuk menjadi sukarelawan terbuka kepada semua individu tanpa mengira bidang kepakaran.

“Sebenarnya SUKA Selangor di setiap DUN ada 11 orang, iaitu 1 koordinator dan 10 ahli. Jadi jumlah untuk 56 DUN adalah lebih 600 ahli.

“Tak semestinya perlu jadi doktor perubatan. Kita cuma perlu ada hati untuk berkhidmat dan berbakti pada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai untuk menyertai SUKA dengan cara menghubungi pejabat DUN masing-masing.


Pengarang :