Atlet lari jarak jauh Selangor Esther Joy Hong Li Chen meraikan kemenagannya dalam acara akhir 10,000m wanita dan meraih pingat emas di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Esther Joy bangga bolot tiga pingat emas pada penampilan terakhir SUKMA

KUCHING, 22 OGOS: Atlet olahraga Selangor Esther Joy Hong Li Chen meluahkan rasa bangga selepas menamatkan karier di Sukan Malaysia (SUKMA) dengan bergaya apabila meraih pingat emas dalam acara larian 10,000m.

Esther Joy menyifatkan persiapan mental sebelum kejohanan menjadi faktor penting kejayaanya pada penampilan terakhir di temasya kali ini.

“Untuk beberapa tahun kebelakangan ini saya melalui proses pembelajaran untuk tidak berputus asa pada setiap cabaran yang dihadapi.

“Pelari dari negeri lain memberi saingan yang sangat sengit jadi ia memerlukan kekuatan mental menyerap tekanan dari mereka ketika larian.

“Jadi, saya rasa amat bangga dengan pengorbanan yang dilalui selama ini untuk meraih tiga pingat emas di sini,” katanya kepada Media Selangor hari ini.

Kemenangan terbaru itu menambah satu lagi koleksi pingat emas kepada Esther Joy selepas kejayaannya melalui acara larian 5,000m dan 3,000 larian halangan.

Atlet berusia 21 tahun itu turut meletakkan sasaran beraksi di kejohanan Sukan SEA 2025 Thailand pada acara triathlon selain memasang impian menyumbang pingat buat negara.

Dengan pencapaian itu, Esther Joy akan membawa pulang keseluruhan RM30,000 dalam bentuk insentif tunai melalui ganjaran RM10,000 oleh Selangor untuk atlet yang memenangi setiap pingat emas.

“Insentif kemenangan ini akan digunakan untuk perbelanjaan keluarga, makan malam bersama mereka untuk meraikan kejayaan saya. Selain itu, menyimpan untuk tabungan di masa hadapan,” kongsinya.


Pengarang :