Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melakukan simbolik penyerahan replika cek Celik Kewangan Belia Madani bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengerusi PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda hadir pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 22 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

PNB anugerah biasiswa lebih RM400 juta kepada pelajar cemerlang

SHAH ALAM, 22 OGOS: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganugerahkan biasiswa bernilai RM430.1 juta kepada 5,857 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Kumpulannya Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda menjelaskan penekanan dalam aspek pendidikan merupakan insiatif pihaknya bagi mengimbangi keuntungan dengan pelaburan sosial.

“Kami memastikan pulangan mampan bagi pemegang unit sambil menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara,” katanya berucap pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 hari ini.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada masa sama, Raja Arshad berkata PNB turut menjalin kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk pembangunan komuniti bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Pengerusi PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berucap pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 22 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Jelasnya, institusi pelaburan itu menyumbang sebanyak RM6 juta sepanjang tahun lalu dengan 95 peratus diperuntuk bagi pembangunan komuniti, manakala selebihnya untuk pendidikan.

“Sumbangan itu antaranya bernilai RM5 juta kepada lebih 18,500 penerima dan 60 buah sekolah yang terjejas akibat banjir kilat pada November 2022 dan berterusan hingga Mac tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PNB mengagihkan dividen sebanyak RM13.3 bilion tahun lalu, menjadikan jumlah kesuluruhan agihan pendapatan sejak institusi itu ditubuhkan berjumlah RM249.2 bilion.

Menurutnya, penganjuran MSAM sejak 2000 pula bertujuan berkongsi ilmu perancangan kewangan dan pelaburan demi meningkatkan tahap ekonomi rakyat yang memanfaatkan lebih 4.3 juta orang.

Acara yang berlangsung bermula hari ini hingga Ahad menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan dan membabitkan pengunjung bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melawat reruai pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 22 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Hadiah bernilai kira-kira RM1 juta turut menanti pengunjung antaranya sebuah pangsapuri servis di Serasi Residences, Putra Heights dan sebuah kenderaan elektrik BYD Dolphin Standard.

Perodua Ativa 1.0L Turbo AV dan Perodua Axia 1.0L AV juga ditawarkan kepada pengunjung bertuah.

Disertai sekitar 50 pempamer, beberapa program unik turut diperkenal tahun ini seperti Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.

 


Pengarang :