AGENDASUKANKINI

Gimnas wanita Wilayah Persekutuan, Selangor raih satu emas, satu perak

KUCHING, 22 OGOS: Wilayah Persekutuan dan Selangor, masing-masing meraih satu pingat emas dan perak acara gimnastik artistik all-around berpasukan dan individu wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berlangsung di Pusat Persidangan Serian hari ini.

Wilayah Persekutuan dibarisi Bianca Ishida, Chai Zi Yen, Hannah Yasmeen Mazwan, Cho Jia Jia, Marissa Zaiful Azian dan Nur Tashalina Nadzreena Shaharuddin mempamerkan aksi cemerlang dengan pungutan mata tertinggi 174.050 menewaskan pasukan Selangor dan tuan rumah.

Selangor diwakili Airisha Zuraidi, Atiqah Rudy, Cadence Teh Zi Qi, Haifa Izzazi Mohd Faizul, Nicole Wong Ziyi dan Leong Yee Shean meraih pingat perak (173.500 mata) manakala pingat gangsa menjadi milik Sarawak dibarisi Allya Kauthar Openg, Audi Zulkarnien, Audrey Jude Rendih Alexander, Cassandra Lavigne Shelden dan Nur Qurratu Aini Norasharudin (172.700 mata).

Sementara itu, Cadence menyumbang pingat emas acara all-around individu dengan catatan 49.600 mata menewaskan pencabarnya dari Wilayah Persekutuan dan Sarawak.

Gimnas berusia 15 tahun itu memperoleh 12.250 mata dalam disiplin senam lantai, 11.950 (melombol), 11.950 (palang tidak sejajar) dan 13.450 (batang titian).

Marissa meraih pingat perak mengumpul 47.750 mata manakala pingat gangsa menjadi milik Cassandra dengan 47.300 mata.

– BERNAMA


Pengarang :