AGENDANASIONAL

Kerajaan pantau situasi di Rusia, gesa rakyat Malaysia berwaspada

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Kementerian Luar Negeri (KLN) Malaysia, melalui kedutaannya di Moscow, sedang memantau dengan teliti serangan dron baru-baru ini di Moscow dan perkembangan di wilayah Kursk.

“Kami terus menilai keadaan di lapangan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

KLN menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke kawasan yang terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi semua garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Sentiasalah mendapatkan maklumat melalui sumber berita yang boleh dipercayai dan menjaga komunikasi dengan Kedutaan Malaysia di Moscow,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memberi jaminan bahawa keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia di Moscow dan kawasan sekitarnya kekal sebagai keutamaan dan ia akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan maklumat terkini jika perlu.

Rakyat Malaysia di Moscow dan wilayah Kursk digesa mendaftarkan kehadiran mereka melalui https://ekonsular.kln.gov.my atau dengan misi diplomatik Malaysia yang terdekat.

Pendaftaran ini penting untuk menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya jika perlu, tambah kenyataan itu.

Sekiranya berlaku kecemasan atau untuk sokongan tambahan, rakyat Malaysia digalakkan untuk menghubungi kedutaan terus di Mosfilmovskaya Ulitsa 50, 115127, Moscow, Rusia, atau melalui nombor telefon +7 495 419 9898 / 99 atau +7 906 746 1333 (Kecemasan), dan alamat e-mel [email protected].

Media antarabangsa melaporkan bahawa Moscow mengalami antara serangan dron terbesar sejak permulaan konflik dengan Ukraine.

Pada 21 Ogos, tentera Ukraine melancarkan serangan dron, menyasarkan beberapa tapak di seluruh Rusia, termasuk Moscow.

– BERNAMA


Pengarang :