BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Di balik nahas Elmina, dari punca hingga syor biro siasatan

Siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) terhadap nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier I di Persiaran Elmina, Shah Alam mendedahkan beberapa pelanggaran peraturan penerbangan.

Diterbit pada 16 Ogos, genap setahun nahas tersebut, laporan 148 halaman itu mendedahkan butiran bagaimana dua juruterbang, enam penumpang dan dua orang awam terkorban.

Laporan itu juga menyatakan syarikat pengendali pesawat malang itu Jet Valet Sdn Bhd tidak mempunyai kebenaran beroperasi daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Biro siasatan juga merumuskan nahas berlaku kerana kesilapan manusia semasa proses rutin ketika hendak mendarat. Namun ia bukan untuk meletakkan kesalahan atau liabiliti kepada mana-mana pihak, sebaliknya untuk meningkatkan keselamatan pada masa depan.

Wartawan NAZLI IBRAHIM dan ABDUL RAHIM SABRI menyorot fakta-fakta penting nahas pesawat bisnes itu yang diringkaskan daripada laporan tersebut dan reaksi seperti laporan media.

Apa yang berlaku?

Pesawat jenis Hawker Beechcraft 390 Premier 1 dengan pendaftaran N28JV terhempas secara menjunam di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Pesawat yang berlepas dari Langkawi pada 2.08 petang dalam penerbangan ke Subang.

Kejadian berlaku semasa pesawat sedang menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah selepas diberi kebenaran untuk mendarat kira-kira pukul 2.48 petang.

Juruterbang, penumpang dan orang awam yang terkorban seperti dalam rajah di bawah.

Apa punca nahas?

Biro siasatan merumuskan pesawat hilang kawalan apabila komponen yang membantu sistem pendaratannya, yang disebut “lift dump spoiler”, telah diaktifkan secara tidak sengaja, kemungkinan besar oleh pembantu juruterbang.

Ini menyebabkan pesawat kehilangan daya angkat secara mendadak, sekali gus tidak dapat dikawal di udara atau kehilangan kawalan dalam penerbangan.

Apa fungsi lift dump spoiler?

Secara ringkasnya, lift dump spoiler adalah panel pada sayap pesawat yang akan naik menegak semasa pendaratan. Ia berfungsi sebagai perintang udara yang akan mengurangkan daya angkat pesawat dan seterusnya memastikan pesawat dapat mendarat dengan mantap di landasan.

Contoh panel lift dump spoiler pada sayap pesawat model lain

Bagaimana biro siasatan merumuskan wujud kesilapan manusia?

Biro siasatan membuat rumusan berdasarkan rakaman suara kokpit sepanjang penerbangan. Pesawat tidak mempunyai perakam data penerbangan tetapi dilengkapi perakam suara kokpit yang boleh merakamkan data suara selama 30 minit.

Apa lagi rumusan siasatan?

Juruterbang dan pembantu tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) apabila mereka tidak duduk di kerusi sepatutnya menyebabkan kegagalan komunikasi pada saat genting. Juruterbang utama sepatutnya di kiri, pembantu di kanan mengikut manual pesawat.

Apa yang dimaksudkan oleh biro siasatan sebagai “kru tidak cukup latihan”?

Biro siasatan merumuskan pembantu juruterbang tidak terlatih untuk mengendalikan pesawat jenis Hawker Beechcraft Premier I termasuk tidak mahir dengan operasi sistem pendaratan pesawat.

Jet Valet berkata sebelum insiden, pembantu juruterbang dua kali mengendalikan pesawat, dari Subang ke Kuantan dan Kuantan ke Langkawi. Bagaimanapun, biro siasatan menegaskan penemuannya mendapati pembantu juruterbang tiada latihan menerbangkan pesawat itu.

Siapa pemilik pesawat?

Pesawat dimiliki dan dikendalikan oleh Koperasi Amanah Pelaburan Berhad melalui anak syarikatnya Jet Valet Sdn Bhd. Syarikat itu ditubuhkan pada 2021 untuk memberi manfaat tambahan keahlian koperasi kepada kira-kira 12,000 ahlinya.

Salah seorang penumpang yang terkorban adalah ahli koperasi. KAPB dan Jet Valet bagaimanapun tidak mendedahkan butiran tempahan dan pembayaran penggunaan pesawat serta rekod penumpang pada hari kejadian.

Jet Valet juga mengendalikan dua lagi pesawat iaitu jenis Hawker Beechcraft 4000 (Nombor daftar: N35JV) dan Gulfstream IV (Nombor daftar: N729TY), yang semuanya berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Kedudukan juruterbang (kiri) dalam kokpit pesawat model Hawker Beechcraft Premier I. Sumber portal execflyer.com 

Apa maklumat lain mengenai pesawat terhempas?

Pesawat berdaftar untuk operasi penerbangan am di Amerika Syarikat. Ia mendapat sijil penerbangan daripada Pentadbiran Udara Persekutuan (FAA) negara itu pada 10 Mei 2023. Pesawat tiba di Malaysia dari Jerman pada 16 Mei 2023.

Siasatan mendapati pesawat yang terhempas tidak mendapat kebenaran operasi daripada CAAM untuk perkhidmatan tidak berjadual dan membawa penumpang berbayar menggunakan pesawat yang didaftar di luar negara, mengikut polisi penerbangan yang terpakai.

Siasatan juga mendapati pemilik pesawat tidak memohon dan tidak juga menunjukkan hasrat mahu memohon kelulusan CAAM biarpun secara tidak langsung beroperasi untuk jangka masa panjang di negara ini.

Apa syor biro siasatan?

Jet Valet perlu meningkatkan latihan kepada semua kru pesawatnya termasuk mematuhi protokol penerbangan yang penting.

Jet Valet mesti memastikan peraturan penerbangan awam termasuk mematuhi sepenuhnya kebenaran terbang di luar jadual.

Jet Valet dan KAPB perlu laksanakan sistem pengurusan keselamatan dan tambah baik komunikasi

Jet Valet mesti menyemak dan mengemas kini prosedur operasi termasuk amaran dan penerangan jelas sistem kritikal

CAAM harus semak semula peraturan berkaitan operasi pesawat luar oleh pengendali asing bagi memastikan operasi selamat.

Tuil lift dump pada kokpit ditemui di lokasi nahas. Foto daripada laporan BSKU

Apa reaksi menteri pengangkutan?

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mahu CAAM menambah baik kelompongan peraturan melibatkan pesawat yang berdaftar di luar negara tetapi beroperasi di Malaysia.

Beliau menyerahkan kepada CAAM untuk membuat siasatan lanjut sama ada pemilik pesawat nahas melanggar peraturan atau undang-undang penerbangan awam negara.

Apa reaksi CAAM?

CAAM sudah mula menyemak peratuan berkaitan pengendalian pesawat berdaftar asing (Peraturan 147 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud. Semakan itu selaras dengan cadangan keselamatan Biro Siasatan Kemalangan Udara. CAAM jangka cadangan peraturan baharu akan dikeluarkan sebelum akhir tahun ini.

Apa reaksi waris?

Keluarga Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit, lapor Astro Awani. Keluarga Muhamad Hafiz, penghantar panggilan yang terbunuh di tempat kejadian, pula reda dengan apa yang terjadi dan tidak mahu memanjangkan isu, lapor Harian Metro.

Isteri kepada juruterbang Heikal Aras, Christine Yong, menulis di Instagram, enggan menerima bulat-bulat laporan siasatan sebaliknya menuntut untuk mendengar rakaman perakam suara kokpit.


Pengarang :