Atlet serta pegawai menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Wilayah Persekutuan pertahan emas bola jaring

SIBU, 23 OGOS: Wilayah Persekutuan membuktikan mereka kuasa besar sukan bola jaring apabila mempertahankan pingat emas acara itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, menewaskan Kedah 60-37 dalam perlawanan akhir di Dewan Serbaguna Politeknik Mukah di Mukah hari ini.

Ia merupakan emas kesembilan Wilayah Persekutuan yang memenangi acara bola jaring sejak 2000 (2000, 2004, 2006, 2010, 2011, 2013, 2018, 2022, 2024).

Pada aksi akhir, anak buah Norizan Rejab mendahului suku pertama dengan 13 berbalas 11 sebelum turut berada di depan pada suku kedua dengan 29-22.

Pada suku ketiga, pasukan Kedah yang dibimbing Huslina Mohd Hussain seakan hilang punca apabila ketinggalan 46-29 sebelum Wilayah Persekutuan menambah 14 lagi jaringan untuk menamatkan saingan akhir dengan selesa 60-37 sekali gus memaksa Kedah berpuas hati dengan pingat perak.

Pingat gangsa dimenangi Johor setelah menumpaskan Terenganu 52-46 dalam perlawanan tempat ketiga dan keempat di venue sama hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :