EXCO Sukan Najwan Halimi (kanan) bergambar bersama pasukan kuartet 4×100 meter wanita Selangor selepas majlis penyampaian pingat di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 23 Ogos 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

SUKMA 2024: Selangor optimis capai kedudukan tiga teratas, sasaran 61 emas

KUCHING, 23 OGOS: Selangor optimis berada di kedudukan tiga teratas dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menjelang hari terakhir esok.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata hanya 19 pingat emas lagi diperlukan Selangor bagi mencapai sasaran 61 ditetapkan.

“Alhamdulillah Selangor semakin mencapai kedudukan ketiga teratas walaupun beberapa hari lalu kita ketinggalan selepas menerima saingan sengit dari Terengganu.

“Setakat ini Selangor telah peroleh 42 pingat emas, kita akan cuba sedaya upaya dengan berbaki dua hari ini raih sasaran 61 pingat.

“Beberapa acara tumpuan seperti tenis, bola tampar, perahu layar dan tinju akan berlangsung. Insya-allah baki 19 ini merupakan indikator yang dipantau untuk menyumbang emas,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian pemenang pingat olahraga di Stadium Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu, Najwan berkata hasil komitmen tinggi pasukan olahraga negeri sebanyak lapan pingat emas berjaya dipungut melepasi sasaran empat pingat emas yang ditetapkan.

“Selain akuatik, kejayaan atlet olahraga kita pada edisi kali ini menjadi ‘booster’ dan indikator sebagai lubuk emas buat Selangor selepas ini,” jelasnya.


Pengarang :