Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Broga, Semenyih, Hulu Langat pada 6 September 2023. Foto X Infrasel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Projek Turapan Mega: PBT senaraikan jalan rosak, Infrasel tinjau sebelum baiki

SHAH ALAM, 23 OGOS: Syarikat penyelenggara jalan Selangor, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) turun padang meninjau jalan rosak di seluruh negeri sebelum Projek Turapan Mega dilaksana.

Eksekutif operasinya berkata tindakan itu berbeza dengan tahun lalu yang hanya melibatkan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) serta aduan orang ramai dalam menentukan laluan perlu dibaik pulih.

“Tahun ini PBT akan kenal pasti jalan bermasalah. Mereka akan serahkan senarai kepada kita dan kita turun meninjau jalan itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

“Langkah ini lebih berkesan sekali gus menjamin keselamatan pengguna. Kita pilih sama-sama, kenal pasri jalan bermasalah,” kata Abdullah Hanif Abdul Ghalib ketika dihubungi.

Tambah beliau setakat ini agensi sudah melakukan tinjauan jalan di empat PBT termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang dan kerja menurap akan dilakukan selepas semua proses selesai.

Pusat Kawalan Pintar Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam berfungsi memantau kerosakan dan menyelenggara jaringan jalan raya seluruh Selangor. Gambar dirakamkan pada 18 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Awal bulan ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan Projek Turapan Mega diteruskan tahun ini melibatkan peruntukan RM20 juta bagi memastikan jalan dalam keadaan baik sekali gus menjamin keselamatan pengguna.

Menerusi peruntukan tambahan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia, projek melibatkan semua laluan termasuk jalan negeri, PBT dan kampung.

Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menjalankan kerja baik pulih menggunakan kaedah ‘Stone Mastic Asphalt 20’ (SMA20) di Jalan Rawang, Rawang II, Kuala Selangor pada 23 Mac 2023. Foto Twitter INFRASEL

Tahun lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan berskala besar meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk.

Merangkumi jarak 94.9 km, kerja penyelenggaraan itu melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Pemilihan jalan untuk kerja baik pulih itu berdasarkan aduan tertinggi daripada orang awam yang dilaporkan menerusi Twitter atau aplikasi Infrasel.


Pengarang :