AGENSISELANGOR

Paras air stesen Jenderam Hilir, Bandar Klang lepasi tahap bahaya takat 9 malam

SHAH ALAM, 23 OGOS: Paras air sungai di stesen Jenderam Hilir dekat Sepang melepasi paras bahaya dengan bacaan 12.05 meter(m) berbanding paras normal 7.4m, setakat jam 9 malam tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menerusi laman sesawang memaklumkan paras air di stesen Sri Aman (Kuala Selangor) juga berada pada paras bahaya dengan bacaan 7.87 meter (m), melebihi paras normal 5m.

Di Klang, stesen Bandar Klang turut berada pada paras bahaya dengan bacaan 3.53m banding paras normal 2.2m, Taman Desa Kemuning 3.04m (normal 1.5m) dan stesen Bukit Changgang di Kuala Langat mencatatkan bacaan 4.2m berbanding paras normal 1.9m.

Berdasarkan info jabatan itu lagi, beberapa stesen menunjukkan bacaan paras air pada tahap berjaga iaitu Dengkil (Sepang), Rimba KDR (Sabak Bernam) dan Kg Sg Manggis (Kuala Langat).

Petang tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat di seluruh Selangor hingga 9 malam.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Putrajaya memaklumkan banjir kilat melanda kawasan Desa Pinggiran Putra petang tadi.

Menurut agensi itu, cuaca hujan, air melepasi paras pinggang namun keadaan terkawal dan pemantauan akan terus dilaksanakan.

Perkembangan terkini paras air boleh layari http://infobanjirjps.selangor.gov.my/index.html

 


Pengarang :