Jurulatih pasukan renang Selangor Syaizalah Kamaruddin (dua, kiri) bersama atlet renang selepas saingan renang Sukan Malaysia (SUKMA) menutup tirai di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 23 Ogos 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

SUKMA 2024: Kuartet renang Selangor tutup tirai saingan dengan bolot 13 emas

KUCHING, 23 OGOS: Kuartet renang Selangor menutup tirai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan bergaya apabila membolot 13 emas, 19 perak dan tujuh gangsa.

Jurulatih pasukan renang negeri Syaizalah Kamaruddin berkata pingat emas disambar pada temasya sukan dwitahunan kali ini melebihi sasaran lapan yang ditetapkan.

Biarpun gagal memecah dominasi Wilayah Persekutuan dalam acara renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, beliau memuji kerja keras dan kesungguhan semua atlet bertanding dalam meraih pingat untuk Selangor.

Jurulatih pasukan renang Selangor Syaizalah Kamaruddin. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR

“Kita (Selangor) masih di belakang mereka (Wilayah Persekutuan), tetapi daripada segi pungutan pingat kali ini lebih tinggi berbanding edisi lepas.

“SUKMA sebelum ini kita bawa pulang 11 emas tetapi kali ini meningkat kepada 13. Pungutan perak juga bertambah dan kita percaya perenang ini akan lebih menonjol pada edisi berikutnya,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Mengulas kejayaan beberapa jaguh renang Selangor yang meleburkan rekod kebangsaan, beliau menyifatkan ia sebagai prestasi menakjubkan.

Syaizalah mengambil contoh Andrew Goh Zheng Yen yang memperbaharui catatan miliknya sendiri dalam acara 100 meter(m) kuak dada selain 50m kuak dada dan 200m kuak dada (rekod SUKMA).

“Malah ada juga atlet renang lain yang berjaya pecah rekod SUKMA termasuk memperbaiki catatan peribadi. Pencapaian mereka sangat luar biasa, tahniah buat semua,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan atlet renang diberi rehat selama seminggu sebelum kembali menjalani latihan untuk persiapan ke kejohanan lain.

“Ada beberapa perenang Selangor terpilih ke Kejohanan Renang Asia Tenggara di Thailand Disember nanti termasuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada September,” katanya lagi.

 


Pengarang :