Perenang muda Selangor Loke Yew Jien
AGENDASUKANKINI

Lunas janji, Yew Jien dedikasi pingat SUKMA buat mendiang bapa

KUCHING, 23 OGOS: Perenang muda Selangor Loke Yew Jien mengotakan janji terhadap mendiang bapanya untuk membawa pulang pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Yew Jien, 18, membolot emas acara 4×100 meter(m) rampaian dan 4×200 meter(m) gaya bebas berganti-ganti, 4x100m gaya bebas berganti-ganti (perak) dan 100m gaya bebas individu lelaki (gangsa) sepanjang saingan berlangsung dari 19 Ogos hingga hari ini.

Bagaimanapun, Yiew Jien, 18, sedih tidak dapat berkongsi kejayaan manis dilakar pada temasya dwitahunan itu bersama bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lepas akibat serangan jantung.

“Sejak kecil, ayah sentiasa menyokong minat saya dalam sukan renang malah sering paksa saya jalani latihan. Saya pernah janji kepadanya untuk bawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat melalui penyertaan di SUKMA.

“Akhirnya saya dapat capai lebih daripada itu. Saya gembira cuma sedikit terkilan kerana ayah tidak dapat tengok kejayaan saya di sini. Terima kasih ayah, kemenangan ini untukmu,” katanya ditemui di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini.

Anak bongsu daripada dua beradik turut mendedikasi kejayaan itu kepada ibunya yang menjadi tulang belakang sejak menceburi karier renang termasuk jurulatih dan rakan sepasukan.

“Setiap hari mereka beri aura cukup positif kepada saya dan tanpa mereka saya tidak akan berada di sini,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Seri Cahaya, Shah Alam.

Anak kelahiran Selangor yang menetap di Ara Damansara, Petaling Jaya turut merancang menyambung pelajaran selepas ini selain memberi sepenuh perhatian terhadap kerjayanya sebagai atlet renang.


Pengarang :