Atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng bergambar bersama pingat emas yang diraih dalam acara 50 meter(m) kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Andrew Goh impi aksi di Sukan Olimpik

KUCHING, 23 OGOS: Selepas menempa pelbagai kejayaan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, jaguh muda renang Selangor Andrew Goh Zheng Yen menyuarakan impian untuk beraksi di Sukan Olimpik.

Kejayaan memecah rekod kebangsaan dalam beberapa acara renang pada temasya sukan edisi ke-21 di Sarawak membakar semangat perenang berusia 20 tahun untuk tampil lebih berani di pentas sukan berprestij dunia.

“Saya harap suatu hari nanti dapat mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik dan menggenggam pingat. Itu impian besar saya,” katanya ditemui di Pusat Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini.

Petang tadi, Andrew membantu kuartet renang acara 4×100 meter(m) rampaian lelaki meraih emas dengan catatan 3:49.12 saat(s), mengatasi rekod SUKMA 2016 yang turut disandang Selangor (3:49.98s).

Kelmarin, dia memperbaiki rekod kebangsaan miliknya dalam acara 50m kuak dada lelaki dengan mencatat 27.40s, memadam 28.03s yang dilakukan dalam saringan ketiga acara berkenaan.

Pada 19 Ogos, Andrew turut memperbaharui rekod kebangsaan acara 100m kuak dada dengan catatan 1:01.39s, mengatasi rekod lama miliknya 1:02.30s dicatatkan pada Terbuka Malaysia 2024 dan rekod SUKMA milik Wong Fu Kang 1:03.05s pada edisi 2016.

Sementara itu, penuntut tahun dua jurusan nutrisi di Grand Valley State University, Amerika Syarikat (AS) tidak meletakkan harapan tinggi untuk tersenarai sebagai calon olahragawan Selangor.

“Senarai calon (olahragawan) pasti ramai tetapi jika tercalon saya sangat hargainya. Ini bermakna saya perlu bekerja lebih kuat dan membuktikan sesuatu,” katanya.


Pengarang :