Anak lelaki sulung mangsa tanah jerlus dikenali Surya (tengah) merayu ibunya diselamatkan ketika tiba di lokasi kejadian di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anak mangsa tanah jerlus rayu selamatkan ibu

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Anak lelaki sulung mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, semalam merayu pihak bertanggungjawanb mencari dan menyelamatkan ibunya.

“Tolong selamatkan ibu saya,” kata pemuda berusia 26 tahun dikenali sebagai Surya sebaik tiba di lokasi kejadian malam tadi.

Difahamkan, Surya baru tiba di negara ini dari Thailand serta terus bergegas ke lokasi pada jam 9.30 malam untuk melihat sendiri usaha pencarian ibunya.

Dia yang memakai baju putih berkotak hitam dilihat sedih sebelum ditenangkan ahli keluarga serta kenalan yang berada di situ.

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff yang melawat lokasi kejadian sempat berbual bersama suami mangsa dengan bantuan jurubahasa.

Pada sidang media malam tadi, Maimunah memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedia membantu keperluan keluarga itu ketika mereka berada di negara ini sepanjang operasi pencarian dilakukan.

Mangsa dikenali Vijayaletchumy, 48, dari Andhra, Kuppam dan keluarganya dijadualkan pulang ke India hari ini selepas dua bulan melancong di negara ini.

Dalam insiden 8.20 pagi itu, mangsa sedang berjalan di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India sebelum tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter.

– BERNAMA


Pengarang :