Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 16 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Mohamad Norza tunai janji letak jawatan presiden BAM

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selepas berkhidmat selama tujuh tahun di badan induk sukan badminton berkenaan.

Beliau berkata keputusan itu diterima ahli majlis BAM pada Mesyuarat Majlis badan induk itu yang diadakan hari ini, yang sekali gus memutuskan Timbalan Presiden I BAM Datuk V. Subramaniam akan berkhidmat sebagai pemangku presiden berkuat kuasa hari ini.

“Saya sebagai presiden BAM ini merupakan mesyuarat terakhir saya, dan juga telah merasmikan bahawa Datuk V. Subramaniam sebagai pemangku presiden,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Mohamad Norza berkata beliau selepas ini bakal menumpukan tugas di peringkat antarabangsa.

“Saya mempunyai banyak tugas, saya ada menyandang beberapa jawatan sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia, Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk semua Majlis Olimpik Asia (OCA), Ahli Jawatan Kuasa Koordinasi untuk Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026.

“Saya rasa cukup untuk saya menyumbang dalam sukan dua tiga tahun akan datang dan saya akan slow down selepas itu,” katanya.

Mohamad Norza turut berharap pucuk kepimpinan yang bakal menerajui persatuan badan induk sukan badminton, akan bersedia dan lebih terbuka untuk menerima apa sahaja yang ditempuh bagi sukan itu pada masa akan datang.

“Banyak perkara yang kita belum capai, tetapi kita telah letak hala tuju yang betul atau platform untuk membawanya ke peringkat selanjutnya, ada banyak tugas perlu dilakukan, tetapi kita dalam perancangan yang betul.

“Kekecewaan sebagai persatuan orang ramai terlalu mudah, badminton sangat dekat dengan hati dan ingatan rakyat Malaysia, jadi ia sangat sensitif saya harap orang ramai boleh memahami kerja ini akan dilakukan dengan profesional,” katanya.

Sementara itu Subramaniam berkata beliau bersedia untuk meneruskan perjuangan yang di bawah Mohamad Norza dalam BAM pada masa akan datang.

“Anda ketahui bagaimana presiden kami telah tinggalkan BAM, hala tuju telahpun ditetapkan dan tidak banyak yang baharu untuk dilihat, yang penting kami perlu teruskannya,” katanya.

Mohamad Norza sepatutnya memegang jawatan sebagai presiden penggal ini yang hanya akan berakhir tahun depan.

Sebelum ini, beliau pernah mengumumkan mahu melepaskan jawatannya pada Disember 2023 dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dinamakan sebagai penggantinya.

Bagaimanapun, setelah dipujuk Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh beliau bersetuju untuk kekal sehingga Paris 2024.

Ahli korporat berusia 57 tahun itu, menerajui BAM selepas mengambil alih kepimpinan daripada Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff pada 2017.

– BERNAMA


Pengarang :