AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB mahu Selangor pamer aksi terbaik, rampas Piala FA

SHAH ALAM, 24 OGOS: Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mahu pasukan Selangor FC berjuang sehabis baik dan merampas kembali Piala FA pada pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Beliau turut menyeru seluruh penyokong untuk membanjiri stadium dan menjadi pemain ke-12, yang memberikan sokongan tanpa henti bagi membangkitkan semangat perjuangan pemain The Red Giants.

Amirudin berkata beliau telah bertemu dan berkongsi amanat dengan pemain, serta pengurusan pasukan dan yakin kejayaan boleh diraih.

“Saya tidak dapat bersama pasukan di Stadium Bukit Jalil malam ini, kerana perlu berada di Kuching bagi acara penutup Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

“Insya-Allah, doa dan sokongan saya sentiasa bersama Selangor FC di mana sahaja saya berada. All the best Red Giants, selamat berjuang dan berjaya untuk merangkul Piala FA,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial miliknya hari ini.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Selangor FC merangkul piala berprestij itu pada 2009, manakala kali terakhir mara ke pentas final Piala FA pada 2018.

– BERNAMA


Pengarang :