Antara penyokong Selangor FC yang datang awal ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan aksi akhir Piala FA pada 24 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Stadium Bukit Jalil meriah, penyokong Selangor FC, JDT datang awal

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil meriah sejak tengah hari tadi sempena perlawanan akhir Piala FA antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT).

Meskipun perlawanan berlangsung jam 9 malam ini, sebahagian penyokong kedua-dua pasukan memilih untuk ‘berkampung’ di sini lebih awal bagi mengelak kesesakan selain mahu merasai kehangatan suasana menjelang sepak mula.

Tinjauan Media Selangor turut mendapati penyokong Gergasi Merah dan Harimau Selatan mula beratur dua jam lebih awal bagi menanti pintu masuk stadium dibuka pada 5 petang.

Antara penyokong JDT yang datang awal ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan aksi akhir Piala FA pada 24 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Turut kelihatan anggota polis menjaga dan memantau orang ramai bagi memastikan keadaan kekal terkawal selain mengingatkan penyokong supaya tidak membawa rokok, rokok elektrik, pemetik api dan senjata tajam.

Sementara itu Nurul Farzana Mohd Ayub, 20, berkata perlawanan hari ini menjadi lubuk rezeki kepada peniaga sepertinya yang menjual aksesori dan perhiasan berkaitan bola sepak.

“Setiap kali ada perlawanan akhir, memang boleh buat duit. Harap cuaca baik dan ramai boleh datang membeli,” katanya yang menjual jersi, mafla serta bendera.

Penyokong Selangor FC mengambil peluang mendapatkan barangan rasmi Gergasi Merah di RG Club Shop yang dibuka di Pintu D Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Ogos 2024. Foto Facebook Selangor FC

Selangor FC melangkah masuk ke perlawanan akhir selepas menewaskan Terengganu FC dengan agregat 6-4, manakala JDT mara selepas mengatasi Kedah Darul Aman dengan agregat 5-1.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Selangor FC merangkul piala berprestij itu pada 2009, manakala kali terakhir mara ke pentas final Piala FA pada 2018.


Pengarang :