Pemain bola wanita Selangor meraih pingat emas dalam perlawanan akhir bola sepak wanita Selangor melawan Sabah ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya pada 23 Ogos 2024.Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

MB: Insentif atlet Selangor raih emas SUKMA diserah dalam masa terdekat

KUCHING, 24 OGOS: Insentif RM10,000 kepada atlet Selangor yang meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan diserah dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan mengadakan sesi pascanilai bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) sebelum ganjaran disampaikan kepada atlet yang menyumbang emas untuk Selangor.

“Ada insentif yang kita sudah tetapkan kepada pemenang emas. Untuk insentif (atlet) yang memperbaharui rekod kebangsaan dan kejohanan juga akan dikemukakan.

“Biasanya kita serah pada Anugerah Sukan Negeri Selangor, tetapi kita akan lihat kesesuaiannya untuk disampaikan kepada pemenang,” katanya ditemui di sini hari ini.

Pada 3 Ogos, Amirudin mengumumkan tawaran insentif RM10,000 kepada atlet yang meraih pingat emas pada SUKMA ke-21 di Sarawak.

Ganjaran RM10,000 diberi kepada atlet sukan individu, RM5,000 seorang (acara berpasukan bawah lima orang) dan RM3,000 seorang (acara berpasukan lebih lima orang).

Selangor mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa secara keseluruhan sepanjang temasya dwitahunan berlangsung dari 17 hingga hari ini untuk berada di kedudukan ketiga.

Dianjur di sembilan daerah di Sarawak, temasya sukan itu membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan dengan Selangor menyertai 37 jenis sukan terbabit.


Pengarang :